Monday, May 2, 2011


TASAWUR PENGURUSAN BERTERASKAN ISLAM

Siti Rushada Binti Md Zainudin[1]

Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

E-mel: rushada@yahoo.com / rushada@gmail.com


ABSTRAK

Kertas kerja ini menumpukan perbincangan kepada satu elemen penting dalam membentuk pengurusan berteraskan Islam iaitu tasawur. Bagi membincangkan tentang tasawur pengurusan berteraskan Islam, kertas kerja ini akan memfokuskan penghujahan kepada tiga aspek penting. Pertama asas tasawur dalam pengurusan berteraskan Islam. Kedua mekanisme yang terlibat dalam pengurusan berteraskan Islam. Ketiga matlamat akhir pengurusan berteraskan Islam. Perbincangan ini penting kerana tasawur adalah acuan yang membentuk falsafah dan dasar sesuatu sistem serta membezakannya dengan sistem yang lazim misalnya dalam konteks kertas kerja ini pengurusan yang lazim. Tasawur juga merupakan elemen penentu sama ada sesuatu sistem atau konsep itu selari dengan paradigma Islam atau sebaliknya. Perbincangan ini adalah hasil menerusi analisis kajian perpustakaan dan analisis kandungan dengan menggunakan sumber rujukan utama Islam iaitu al-Quran. Hasil daripada perbincangan dalam kertas kerja ini, dijangkakan satu asas tasawur pengurusan berteraskan Islam yang dibentuk dalam acuan yang tepat dan selari dengan paradigma Islam dapat dikemukakan.

PENGENALAN

Secara umumnya, pengurusan berteraskan Islam meliputi pengurusan melalui pelbagai bentuk hubungan. Hubungan tersebut merangkumi hubungan menegak antara manusia dengan Allah SWT (hamblum-minallah) dan hubungan mendatar sesama manusia dengan sumber alam (hablum-minannas) (Muhammad Syukri Salleh, 2003a: 86). Kedua-dua hubungan dibentuk berlandaskan acuan tasawur yang bertitik tolak daripada sumber Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Ia berbeza dengan sumber pengurusan lazim yang tidak mengambil kira sumber rujukan Islam dalam pengurusan. Dengan itu, pengurusan berteraskan Islam berbeza dengan kaedah pengurusan lazim. Hal ini kerana, worldview pengurusan lazim adalah tidak selari dengan tasawur pengurusan berteraskan Islam. Oleh yang demikian, pengurusan berteraskan Islam sebaiknya bertunjangkan kepada asas tasawur. Dalam asas tasawur pengurusan berteraskan Islam ini, terdapat tiga persoalan yang dikemukakan. Pertama apakah asas tasawur dalam pengurusan berteraskan Islam? Kedua apakah mekanisme yang terlibat dalam pengurusan berteraskan Islam? Ketiga, apakah matlamat akhir pengurusan berteraskan Islam? Berdasarkan persoalan yang dikemukakan, perbincangan dalam kertas kerja ini akan menjawab keseluruhan persoalan tersebut.

Secara keseluruhan, perbincangan dalam kertas kerja ini akan menumpukan kepada dua elemen utama. Elemen pertama, perkara asas tasawur yang telah dijelaskan secara langsung dan tidak langsung dalam al-Quran[2]. Elemen kedua, tumpuan khusus kepada empat mekanisme dalam asas tasawur pengurusan iaitu pengurus, sumber-sumber pengurusan, kaedah pengurusan, dan matlamat pengurusan yang bertepatan dengan syariat Islam. Oleh yang demikian, perbincangan ini akan menjadikan tasawur sebagai asas dalam membentuk tasawur pengurusan berteraskan Islam. Untuk itu, kertas kerja ini terlebih dahulu membincangkan konsep tasawur Islam.

KONSEP TASAWUR ISLAM

Perbincangan dalam konsep tasawur Islam ini meliputi definisi, prinsip-prinsip dan elemen-elemen asas tasawur Islam. Konsep tasawur Islam akan dibincangkan menurut pengkaji-pengkaji Islam yang mengemukakan tentang tasawur. Misalnya Haron Din (1992a:3) menyatakan tasawur merupakan istilah Arab. Ia berasal daripada kata dasar sawwara dan mempunyai tiga pengertian utama. Pertama, memberi tanggapan terhadap rupa sesuatu gambaran (ibn Manzur, 1994: 473). Kedua, menjelaskan gambaran sebenar terhadap sesuatu (Mas’ud, 1990:936). Ketiga, menghasilkan rupa sesuatu dalam akal (al-Qasimiy, 1989:755). Ketiga-tiga pengertian ini jelas bahawa istilah tasawur secara etimologinya bermaksud tanggapan, gambaran atau sikap mental terhadap sesuatu.

Seterusnya Hamid Fahmy Zarkasyi (2007; 2004), mendefinisi tasawur secara etimologi dan kemudian diperincikan oleh Siddiq Fadzil (2009) dengan menyatakan bahawa tasawur merupakan cara pandang terhadap perkara-perkara yang terdapat dalam alam semesta. Dalam pada itu, Muthahhari (2001:18) telah melanjutkan definisi tasawur sebagai gambaran dari sebuah kesimpulan, pentafsiran, hasil kajian yang ada pada seseorang berkenaan dengan alam semesta, manusia, masyarakat dan sejarah. Kemudian Qutb (1965) mendefinisikan tasawur Islam kepada segala keyakinan asas tentang Islam yang terbentuk dalam fikiran dan hati setiap Muslim. Manakala, al-Faruqiy (2000:11-120) melihat tasawur Islam sebagai pandangan hidup tentang kebenaran, kenyataan dunia, ruang dan masa, sejarah dan takdir dengan berpaksikan kepada kalimah tauhid. Selain daripada pengkaji-pengkaji Islam di atas, lahir sebilangan penulis-penulis Islam pada abad ke-20 yang lebih mengkhususkan pengertian tasawur.

Abad ke-20 terdapat sebilangan penulis-penulis Islam yang mengunakan perkataan-perkataan khusus bagi pengertian tasawur Islam. Misalnya, Qutb (1965) dan al-Mawdudiy (1985) mengunakan istilah al-Tasawwur al Islamiy (pandangan hidup Islam); al-Zayn (1989) pula mengunakan Istilah al-Mabda’ al-Islamiy (prinsip-prinsip Islam) dan al-Faruqi (2000) mengunakan istilah al-Tasawwur al-Tawhidiy (pandangan hidup akidah Islam). Tasawur Islam juga bertujuan menjelaskan secara keseluruhan prinsip-prinsip asas Islam yang boleh mengambarkan Islam yang sebenar lagi menyeluruh (Haron Din, 1992b:3). Tasawur dilihat sebagai gambaran hasil sebuah kesimpulan, pentaksiran, hasil kajian yang ada pada seseorang berkenaan dengan alam semesta, manusia, masyarakat dan sejarah (Muthahhari, 2001). Seterusnya tasawur juga bersumberkan kepada beberapa faktor yang dominan dalam kehidupan. Faktor tersebut merangkumi, agama, budaya, falsafah, kepercayaan dan sebagainya (Hamid Fahmy Zarkasyi, 2007&2004). Tambahan lagi, tasawur juga melibatkan cara pandang terhadap perkara-perkara yang terdapat dalam alam semesta (Hamid Fahmy Zarkasyi, 2007&2004 dan Siddiq Fadzil, 2009). Seterusnya Muhammad Syukri Salleh, (2003b:21) telah menyimpulkan tasawur Islam sebagai gambaran bentuk Islam yang hakiki, yang menjelaskan secara keseluruhan prinsip-prinsip asas Islam secara benar dan lengkap, sehingga bersebati dalam diri orang yang memahaminya. Prinsip-prinsip ini adalah intipati dalam al-Quran yang secara langsung dan tidak langsung menggambarkan tiga asas tasawur Islam ini. Pertama Allah SWT adalah Pencipta, kedua manusia adalah hamba dan khalifah serta ketiga sumber alam juga adalah makhluk yang seperti juga manusia, iaitu mesti tunduk patuh kepada Allah SWT. Ketiga-tiga elemen asas tasawur yang telah dikemukakan oleh Muhammad Syukri Salleh (2003) akan dihuraikan dalam pengurusan berteraskan Islam.

Secara keseluruhannya dalam perbincangan konsep tasawur mengikut pengkaji-pengkaji Islam dilihat adalah berbeza. Perbincangan sebelum ini memperlihatkan wujud perbezaan dari segi istilah dan konsep tasawur. Walau bagaimanapun, secara umumnya keseluruhan pengkaji bersetuju bahawa tasawur sebenarnya mempamerkan bahawa Islam mempunyai cara pandangnya yang tersendiri terhadap segala yang sesuatu. Oleh itu, tasawur dilihat fleksibel dan keperluan penggunaan kata sifat Islam menonjolkan istilah tasawur bersifat neutral dari etimologinya. Berdasarkan kepada perbincangan mengenai tasawur ini diperhatikan konsep tasawur ini penting diambil kira dalam setiap aspek untuk memastikan sesuatu sistem atau ilmu itu benar-benar berteraskan Islam. Bahagian yang seterusnya ini akan cuba memfokuskan kepada satu bentuk ilmu yang penting dalam dunia hari ini iaitu pengurusan dan bagaimanakah tasawur bagi pengurusan berteraskan Islam yang selari dengan tasawur Islam itu. Oleh itu perbincangan seterusnya menerusi konsep pengurusan berteraskan Islam.

KONSEP PENGURUSAN BERTERASKAN ISLAM

Sebelum melihat konsep pengurusan berteraskan Islam, penulis akan melihat terlebih dahulu definisi pengurusan mengikut sarjana kontemporari. Terdapat pelbagai definisi pengurusan lazim yang dikemukakan oleh para sarjana dalam bidang pengurusan. Harold Koontz dan Heinz Weihrich (2008), misalnya melihat pengurusan sebagai proses merancang dan memelihara persekitaran di mana individu bekerjasama dalam kumpulan secara cekap untuk mencapai matlamat organisasi yang tertumpu kepada keuntungan.

Henry Fayol (1916) pula mendefinisikan pengurusan sebagai sebuah aktiviti atau kegiatan meramal dan merancang, mengorganisasi, mengarah, menyelaras dan mengawal. Hal yang sama juga dikemukakan oleh Koontz dan O’ Donnell (1984) dengan memperincikan pengertian pengurusan sebagai satu proses operasional dikaji dengan cara menganalisis fungsi-fungsi pengurusan yang merangkumi perancangan, pengorganisasian, pengambilan kakitangan, pengarahan, kepimpinan dan pengawalan.

Berdasarkan definisi pengurusan lazim di atas, ia memaparkan pemikiran pengkaji-pengkaji pengurusan lazim hanya terbatas terhadap unsur-unsur luaran yang diberikan penekanan dalam pengurusan. Walau bagaimanapun pengertian pengurusan lazim tidak mempamerkan keseluruhan aspek dalaman dan luaran pengurusan secara komprehensif dan holistik. Selain itu, matlamat pengurusan lazim tertumpu kepada nilai dan material yang bersifat fizikal iaitu keuntungan. Ia berbeza dengan pengurusan berteraskan Islam. Pengurusan berteraskan Islam adalah holistik dan merangkumi dunia dan akhirat. Hal ini dipamerkan menerusi pengertian yang dikemukakan oleh Mohd Affandi Hassan (1992). Beliau mengemukakan pengurusan berteraskan Islam sebagai pengurusan berlandaskan kepada Tauhid. Ia merujuk kepada penyempurnaan amanah yang diterima oleh manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Penyempurnaan amanah ini dilaksanakan dengan mengerjakan amal soleh melalui pengurusan dengan syura dalam organisasi. Tujuan pengurusan dan pentadbiran adalah membina peradaban yang diredhai oleh Allah SWT iaitu mardhatillah [3] yang berlandaskan kepada ajaran tauhid. Oleh itu, pengurusan dan pentadbiran mengutamakan penghapusan al-fasad (keburukan) dan penegakan keadilan dalam organisasi dan masyarakat. Matlamat akhir pengurusan dan pentadbiran Islam ialah pencapaian al-falah [4] yang hakiki di dunia dan akhirat. Pengertian ini mempamerkan secara jelas perbezaan di antara pengurusan lazim dengan pengurusan berteraskan Islam. Perbezaan ini dapat dilihat daripada aspek tasawur di mana falsafah pengurusan Islam secara keseluruhannya adalah berpangkal pada tauhid. Menurut Panel Akademi Pengurusan YPEIM (2005) ajaran tauhid ini menjelaskan Allah s.w.t adalah satu-satunya Tuhan atau “Rabb[5] bagi seluruh alam ini. Oleh yang demikian, kesempurnaan Rabb (pengurus) dilihat daripada sifat al-Rahman dan al-Rahim yang dimiliki oleh Allah SWT dalam mengatur urusan-Nya. Gaya pengurusan-Nya yang berteraskan al-Rahman dan al-Rahim ini menunjukkan kesempurnaan Allah s.w.t melalui ketertiban dan keteraturan perjalanan alam. Kesempurnaan gaya pengurusan oleh Allah SWT mempamerkan teladan kepada manusia untuk memikirnya. Ia sebagai mekanisme yang dapat menonjolkan perbezaan antara pengurusan berteraskan Islam dan pengurusan lazim.

Secara keseluruhan, konsep pengurusan berteraskan Islam adalah berbeza dengan pengurusan lazim. Ia dilihat berdasarkan teras dan falsafahnya atau dalam perkataan lain tasawurnya. Pengurusan lazim lebih bersifat terhad kepada pengertian-pengertian yang bersifat luaran dan lahiriah Islam. Pengurusan Islam pula sebaliknya Allah SWT sebagai Pencipta. Ketinggian status Allah SWT sebagai pendekatan bagi manusia mentauhidkan Allah SWT dalam gaya pengurusan yang lebih holistik dan unggul. Pengurusan yang holistik ini bertepatan dengan status manusia sebagai hamba Allah SWT dan khalifah dalam pengurusan. Pengurusan dalam Islam merupakan manifestasi ibadah soleh untuk mencapai mardhatillah dan al-falah di dunia dan di akhirat. Hal ini adalah bertepatan dengan tasawur pengurusan berteraskan Islam.

TASAWUR PENGURUSAN BERTERASKAN ISLAM

Pengurusan berteraskan Islam adalah dibentuk daripada acuan tasawur. Tasawur Islam mempunyai tiga elemen asas utama yang perlu diterapkan dalam pengurusan. Elemen tasawur Islam merangkumi hubungan manusia dengan Allah SWT sebagai Pencipta, hubungan manusia sesama manusia sebagai makhluk dan khalifah, dan hubungan manusia dengan alam keseluruhannya sebagai makhluk. Elemen asas tasawur ini mesti diterapkan dalam mekanisme pengurusan berteraskan Islam. Mekanisme pengurusan tersebut meliputi empat asas mekanisme pengurusan iaitu pengurus, sumber-sumber pengurusan, kaedah pengurusan dan matlamat pengurusan. Oleh yang demikian pembentukan tasawur pengurusan berteraskan Islam adalah gabungan mekanisme pengurusan dengan elemen asas tasawur Islam yang hakiki.

Elemen asas pertama, Allah SWT sebagai Pencipta berkait rapat dengan aqidah tauhid. Akidah tauhid ini terbahagi kepada tiga aspek utama. Pertama tauhid al-rububiyyah, kedua tauhid al-uluhiyyah dan ketiga tauhid al-asma’ wa al-sifat. Tauhid al-rububiyyah[6] merujuk kepada kepercayaan Allah SWT sebagai Pencipta dan Penguasa alam. Dalam konteks akidah tersebut, manusia perlu beriman kepada Allah SWT yang mentadbir alam dengan memberi rezeki, menghidupkan dan mematikan, menyusun dan memberi pertolongan kepada yang dikehendaki. Seterusnya tauhid al-Uluhiyyah[7] adalah mensyaratkan ibadah dan permohonan hanya kepada Allah SWT. Aspek tauhid ini ia membezakan Islam daripada kepercayaan-kepercayaan lain. Aspek tauhid ini juga menolak unsur syirik dalam iman seseorang muslim. Manakala tauhid al-Asma wa al-Sifat pula merujuk kepada konsep tauhid nama-nama Allah[8] dan sifat-sifat[9] ini hanya merujuk Allah Maha Esa dan tidak perkara-perkara lain menyamai sifat-sifat makhluk. Oleh itu manusia sebagai hamba dan khalifah perlu beriman dengan mentauhidkan Allah sebagai tuhan yang Maha Esa.

Elemen asas kedua manusia sebagai hamba dan khalifah. Dalam konteks tasawur Islam peranan manusia yang utama ialah sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi serta memahami tujuan kehidupan. Tugas hamba dan khalifah adalah beriman dengan Allah dan tidak menyamakan Allah dengan makhluk yang lain. Keimanan manusia kepada Allah berkait rapat dengan konsep tauhid. Konsep tauhid ini akan membentuk hubungan manusia dengan Allah SWT dan manusia sesama manusia serta manusia dengan persekitaran. Pembentukan hubungan hablum minallah dan hablum minannas ini adalah tanggungjawab manusia terhadap Allah SWT melalui amal perbuatan. Amal perbuatan ini berkaitan dengan dirinya sendiri, keluarga, masyarakat, dan persekitarannya termasuk mengurus setiap perkara dalam hidup manusia itu. Oleh itu, setiap muslim adalah hamba Allah SWT yang wajib patuh beribadah kepada-Nya dalam setiap aspek termasuk dalam aspek pengurusan.

Setiap tindakan seorang Muslim sebagai pengurus mempunyai batasan dengan tasawur yang bertepatan dengan ajaran Islam.

Elemen asas tasawur ketiga, sumber alam sebagai makhluk Allah SWT. Semua ciptaan yang ada di langit dan di bumi adalah milik Allah SWT yang mutlak. Allah SWT adalah Pencipta dan Pemilik segala sumber alam. Walaupun sumber alam itu diciptakan oleh Allah SWT dan menjadi hak mutlak-Nya. Namun begitu, kesemuanya ditundukkan Allah SWT untuk kegunaan manusia. Allah SWT mencipta sumber alam bertujuan supaya manusia beriman dan sedar tentang sifat Allah SWT yang Pengasih dan Penyayang (Muhammad Syukri Salleh 2003c:63). Sumber alam ini juga sebagai tanda nikmat dan ujian Allah SWT terhadap manusia dan makhluk lain. Oleh yang demikian, manusia perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai pengurus yang baik untuk mengurus sumber alam berlandaskan syariat Islam. Pengurus yang baik dalam melaksanakan pengurusan berteraskan Islam adalah mengikut acuan asas tasawur yang bertepatan dengan syariat Islam.

Berasaskan perbincangan sebelum ini, dapat dikemukakan pandangan beberapa penulis mengenai pengurusan dalam paradigma Islam. Pengurus berdasarkan paradigma Islam yang dikemukakan oleh penulis misalnya, Auni Bin Abdullah (2007) merujuk kepada seorang yang menghayati sifat golongan “ulul-albab” iaitu golongan yang sering disebut di dalam al-Quran. Golongan ini merupakan mereka yang sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk memakmurkan dunia atau mengurus mengunakan segala sumber pemberian Allah di bumi. Golongan ini juga sering berzikir dan tidak lalai dalam melaksanakan tugas bertepatan syariat Islam. Bekerja dan berzikir adalah dua pendekatan Qurani yang boleh mempengaruhi individu menggembleng kekuatan diri seperti tenaga, harta, ilmu, kepakaran, kuasa demi mencari keredhaan Allah melalui ibadah yang dilaksanakan. Dengan pelaksanaan ibadah, pengurus Islam merupakan unsur penting dalam kehidupan dan pembangunan tamadun Islam. Hal ini kerana, dalam al-Quran sifat pengurus yang baik adalah seorang mukmin[10] yang beriman pada Allah. Dengan itu juga, menurut Mohd. Amin Salih (1990), beliau melihat beberapa tokoh Islam yang telah mengklasifikasikan ciri-ciri dan sifat-sifat pemimpin yang baik dari pelbagai sudut. Antara tokoh Islam tersebut seperti al-Farabi, ibn Khaldun dan al-Ghazali. Menurut al-Farabi (t.t), ciri-ciri dan sifat-sifat pengurus mempunyai kesempurnaan fizikal, kesempurnaan ingatan, mampu menyampaikan sesuatu dengan benar berdasarkan kecintaan ilmu, menghindari perkara yang sia-sia, mampu mengawal hawa nafsu, berlapang hati dan cintakan keadilan, bencikan paksaan, mampu memberi keadilan tanpa paksaan, tidak mengenal takut dan melakukan sesuatu dengan penuh keyakinan. Makala ibn Khaldun (t.t) pula, melihat sifat yang harus ada pada pemimpin ataupun pengurus ialah suka memaafkan kesalahan, suka melindungi pihak yang lemah, bermurah hati pada tetamu, memelihara orang miskin, sabar dalam kesusahan, jujur dalam perbuatan dan percakapan, menghormati agama, guru dan golongan orang tua, tidak sombong khususnya pada fakir miskin, boleh menerima teguran, mempunyai semangat jemaah dan menempatkan orang-orang yang layak ditempat yang perlu[11]. Seterusnya imam al-Ghazali (t.t) melihat ciri dan sifat pengurus yang baik mempunyai daya intelek yang tinggi, berpengetahuan dan berfungsi, berani, berpandangan jauh, tegas dan mampu menentukan semua yang dipimpin dibawah pengurusannya melaksanakan tugas mereka dengan baik dan sempurna.

Berdasarkan ciri-ciri dan sifat-sifat pengurus yang dikemukakan oleh tokoh ilmuan Islam, penekanan khusus terhadap sifat mahmudah adalah menjadi keutamaan. Hal ini kerana, sifat-sifat mahmudah ini mempunyai ciri-ciri orang yang mukmin yang boleh menjadi pengurus mengikut acuan tasawur Islam. Oleh yang demikian pengurus yang kaya dengan sifat mahmudah ini berkeupayaan melaksanakan amanah Allah SWT di muka bumi. Dengan itu, pengurus yang mempunyai keupayaaan juga adalah mereka yang mampu melaksanakan tugas dalam mengerakkan sumber-sumber dalam pengurusan berteraskan Islam.

Pengurusan berteraskan Islam melihat sumber-sumber pengurusan adalah milik Allah SWT yang mutlak. Allah SWT adalah Pencipta dan Pemilik segala sumber alam dan termasuklah sumber-sumber yang terdapat dalam pengurusan.[12] Walaupun sumber alam itu diciptakan oleh Allah SWT dan menjadi hak milik-Nya. Namun begitu, kesemuanya dikurniakan oleh Allah SWT untuk kegunaan manusia. Tujuan Allah SWT menciptakan sumber alam supaya manusia sebagai pengurus atau khalifah sedar tentang sifat Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha penyayang. Melalui sifat ini, Allah SWT telah melengkapkan segala nikmat-Nya kepada manusia agar mereka beriman dan patuh kepada-Nya. (Muhammad Syukri Salleh 2003d:63). Oleh itu, manusia sebagai pengurus perlu bertanggungjawab menguruskan sumber mengikut kaedah-kaedah yang berlandasan tasawur Islam seperti mana disyariatkan dalam al-Quran[13].

Dalam al-Quran, manusia adalah terikat dengan status hamba Allah SWT dan khalifah di muka bumi. Dengan status ini, manusia sebagai pengurus perlu melaksanakan pengurusan berlandaskan tanggungjawab yang telah diamanah oleh Allah SWT Pengurus juga mesti taat dan patuh kepada Allah SWT Sebagai pengurus, mereka perlu mengetahui tujuan kehidupan terutamanya dalam melaksanakan tugas pengurusan yang selari dengan tasawur. Tasawur pengurusan berteraskan Islam melihat pengurus atau pemimpin memikul tanggungjawab melaksanakan amanah yang melibatkan dalam konteks hubungan menegak iaitu hablum-minallah dan hubungan mendatar hablum-minnas. Oleh yang demikian pengurusan berteraskan Islam sangat berkait rapat dengan ibadah untuk membina hubungan manusia dengan Allah. Untuk membina hubungan dengan Allah SWT menerusi ibadah pengurusan, maka kaedah pengurusan berteraskan Islam adalah lebih ideal.

Kaedah pengurusan yang digunapakai perlu bertepatan dengan landasan Islam. Terdapat tiga kaedah pengurusan berteraskan Islam. Pertama kaedah pengurusan Tauhidik, kedua kaedah pengurusan dengan syura dan ketiga kaedah pengurusan Ilahiyyah. Setiap kaedah pengurusan berteraskan Islam ini mempunyai justifikasi dalam elemen tasawur. Kaedah pengurusan Tauhidik adalah yang dikemukakan oleh Mohd. Affandi Hassan (1992). Ia menekankan pendekatan tauhid kepada tiga bidang utama. Pertama hakikat kejadian insan, kedua hakikat amal dan ketiga hakikat organisasi. Ketiga-tiga bidang tersebut menekankan terhadap ilmu aqli dan naqli dalam pengurusan. Dengan ilmu tersebut manusia mengenal sifat Allah SWT dan meninggikan Allah SWT sebagai Pencipta. Sebagai manusia yang berstatuskan hamba dan khalifah sepertimana yang digariskan dalam al-Quran, ia adalah terbatas mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan. Status manusia tersebut sebagai amanah keinsanan melalui pelaksanaan aktiviti-aktivi pengurusan. Ia sebagai amalan yang soleh dan penglibatan secara bersama melalui prinsip Syura. Tujuan pengurusan dan pentadbiran adalah membina peradaban (mewujudan adab) yang diredhai Allah SWT berlandaskan ajaran tauhid. Dengan itu, pengurusan dan pentadbiran bertanggungjawab menghapuskan al-fasad seperti rasuah, penyelewengan, kerosakan, kezaliman dan penindasan. Ia adalah untuk menegakkan keadilan dalam organisasi dan juga dalam masyarakat. Matlamat pengurusan dan pentadbiran adalah mencapai al-falah iaitu kesejahteraan dan keberuntungan serta kemenangan di dunia dan akhirat (Mohd Affandi Hassan: 1991).

Menurut Mohd Affandi Hassan (1991) kaedah pengurusan Tauhidik juga adalah sebahagian pengurusan dengan Syura. Ia memberikan keutamaan kepada pembentukan sistem nilai berasaskan tauhid dengan memberi penekanan terhadap iman (sebagai asas sistem nilai), ilmu (untuk memberi perspektif yang betul kepada penggunaan akal, dengan itu membina sikap intelektual yang cintakan kebenaran), dan amal (penyaluran tenaga hawa nafsu dan syahwat melalui kemahiran yang dipergunakan untuk mengerjakan amal soleh). Dengan itu falsafah pentadbiran pengurusan dengan Syura mencerminkan hakikat keinsanan. Tujuan falsafah pentadbiran dalam pengurusan dengan Syura ialah melahirkan para pekerja yang cekap, kreatif, jujur dan amanah, tekun dan rajin, sabar dan bijaksana, tegas dan berani, mempunyai harga diri yang tinggi, sederhana dan tidak tamak, tenang menghadapi cabaran, ikhlas dalam niat, kata-kata dan perbuatan, bekerjasama dan bertanggungjawab, sentiasa menjaga kesihatan spiritual, mental dan fizikalnya, mahir dalam tugas dan sentiasa bersedia mengajarkan kemahirannya kepada orang lain, dan yang paling penting iaitu tidak keliru dalam menentukan keutamaan (priority). Untuk mencapai keadaan di atas, kompenan kedua dalam pengurusan dengan Syura mengunakan konsep ihsan. Ia sebagai pembentukan akhlak mulia dalam organisasi. Konsep ihsan ini juga sebagai justifikasi dalam kesempurnaan ibadah kepada Allah. Ia sebagai mekanisme pencapaian kecemerlangan organisasi dalam erti kata yang hakiki. Dalam kompenan yang ketiga amalan pengurusan dengan Syura akan merealisasikan hakikat amal dan hakikat organisasi. Maka pengutamaan dalam kompenan Syura menerusi musyawarah, muafakat dan bekerjasama. Kompenan ini memberi penekanan kepada tugas manusia sebagai khalifah yang berlandaskan syariat dalam melaksanakan pengurusan Syura dalam ayat al-Quran (42:38) [14]dan amalan ini pernah dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda (Mohd Affandi Hassan, 1992:60-66). Pelaksanaan kaedah pengurusan Syura ini mempunyai tiga tujuan iaitu pertama, menetapkan falsafah pengurusan yang berlandaskan sumber Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Kedua melahirkan pengurus yang berakhlak dan beradab serta mempunyai kemahiran yang tinggi. Ketiga menjadikan pengurusan tersebut sebagai alat mencapai al-falah iaitu kesejahteraan dunia dan akhirat.

Selain pengurusan dengan Syura, kaedah pengurusan Ilahiyyah juga merupakan pengurusan berteraskan Islam. A. Riawan Amin (2006) telah mengemukakan kaedah pengurusan Ilahiyyah. Dalam pengurusan Ilahiyyah ini terdapat dua belas ciri iaitu iman, fitrah, istiqamah, natijah, regeneratif, perkongsian maklumat, perkongsian ilmu, perkongsian kuasa, perkongsian kekayaan, mujahadah, kompetitif dan intelek. Semua nilai ini adalah merangkumi tiga prinsip iaitu ibadah, kekayaan dan perjuangan. Keseluruhan nilai spiritual dan prinsip tersebut diterapkan dalam kaedah pengurusan Ilahiyyah. Kaedah pengurusan Ilahiyyah ini mempunyai asas tasawurnya. Asas tasawur pengurusan tersebut melalui pelaksanaan pengurusan berteraskan Islam secara praktikal mengikut rujukan al-Quran dan hadis.

Secara keseluruhannya, pengurusan berteraskan Islam dalam kehidupan Islam mempunyai matlamat khusus. Matlamat khusus pengurusan berteraskan Islam adalah mencari mardhatillah untuk mencapai al-falah. Bagi mencapai mardhatiillah, pelaksanaan pengurusan mesti tepat dan selari dengan tuntutan syariat Islam. Pelaksanaan pengurusan hendaklah mencakupi keyakinan dan penghayatan terhadap tasawur Islam. Penghayatan tasawur Islam merangkumi ketauhidan kepada Allah SWT. Ia melalui amalan pengurusan yang bersifat ikhlas hanya kepada Allah SWT dan syariat dalam pengurusan dipelihara serta menjaga akhlak dengan Allah SWT. Oleh yang demikian, penghayatan tasawur Islam ini adalah memastikan redha Allah SWT tercapai dalam melaksanakan pengurusan berteraskan Islam. Keredhaan Allah SWT dalam pelaksanaan pengurusan sangat penting sebagai jaminan kecemerlangan meliputi kejayaan di dunia dan akhirat. Semua ini bersesuaian dengan kedudukan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah melalui ibadah pengurusan.

KESIMPULAN

Daripada perbincangan tersebut, tasawur pengurusan berteraskan Islam adalah bersumberkan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Sumber ini mengambarkan tiga asas utama iaitu Allah SWT sebagai Pencipta, manusia sebagai hamba dan khalifah serta alam semesta sebagai makhluk. Tiga asas tasawur ini perlu diterapkan kepada empat mekanisme pengurusan berteraskan Islam iaitu pengurus, sumber-sumber pengurusan, kaedah pengurusan dan matlamat pengurusan yang bertepatan dengan syariat Islam. Oleh yang demikian, daripada perbincangan dalam kertas kerja ini telah menghasilkan satu asas tasawur pengurusan berteraskan Islam yang dibentuk dalam acuan yang tepat dan selari dengan paradigma Islam.

BIBLIOGRAFI

Abul A’la al-Maududi, “Abu Hanifah dan Abu Yusuf’ dalam M.M. Shariff (1994). Sejarah Islam dari Segi Falsafah, trj .Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Al-Faruqiy Isma’il Raji. (2000). Al-Tawhid: Kesannya Terhadap Pemikiran dan Kehidupan, terj. Unit Terjemahan Modal Perangsang Sdn.Bhd. Selangor: International Institute of Islamic Thought (ISTAC) dan Thinker’s Library Sdn. Bhd.

A. Riawan Amin (2004). Zikr, Pikr, Mikr: The Celestial Management. Jakarta: Bening Publishing.

Auni Bin Haji Abdullah (2007).Pengurusan Islam: Potensi dan Cabaran. Kuala Lumpur: DarulFikir Sdn.Bhd.

Hamid Fahmy Zarkasyi (2004). Islam Sebagai Pandangan Hidup (Kajian Teoritis Dalam Merespon Perang Pemikiran). Diakses dari http://pondokshabran.org/index.php?option=com&task=view&id=37&Itemid=17 pada 10 Oktober 2010.

Hamid Fahmy Zakarsyi (2007). Islam Sebagai Pandangan Hidup. Diakses dari http://idrusali85.wordpress.com/2007/07/09/islam-sebagai-pandangan-hidup/ pada 10 Oktober 2010.

Haron Din (1992). Tasawwur Islam. Shah Alam: Pustaka Hizbi.

Harold Koontz & Heinz Weihrich (2008). Essential of Management from International Perspective. New Delhi: Tata Mc Graw, Hill Publishing Company limited.

Hendry Fayol (1916) dalam Edward P. Borodzicz (2005). Risk, Crisis, Security Management. England: John Wiley & Sons, Ltd.

Koontz dan O’ Donnell (1984) dalam Stephen P. Stuart-Kotze (1994). Management. Canada: Pearson Education.

Mohd Amin Salih (1991). Kepimpinan Menurut Pandangan Islam, dalam buku Shafie Hj Mohd Salleh dan Mohd Affendi Hassan (1991) Kecemerlangan Pentadbiran Dasar dan Amalan Dalam Islam, Kuala Lumpur: Institusi Tadbiran Awam Negara Malaysia (INTAN).

Mohd Affandi Hassan (1992). The Tawhidic Approach in Management and Public Administration: Concept, Principles and an Alternative Model, Kuala Lumpur: National Institute of Public Administration (INTAN).

Muhammad Syukri Salleh (2000). “Ke Arah Pengurusan Pembangunan Islam”. Dlm. Muhammad Syukri Salleh dan Fadzila Azni Ahmad, eds., Pengurusan Pembangunan Islam – Prosiding Seminar, Pulau Pinang: Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) Universiti Sains Malaysia dan Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Edition Sdn. Bhd.

Muhammad Nejatullah Siddiqi (1972). Economic Enterprise in Islam, Lohera: Public Islamic Publication Ltd.

Muthahhari, Murthadha (2001). Mengenal Epistemologi Sebuah Pembuktian Terhadap Rapuhnya Pemikiran Asing dan Kukuhnya Pemikiran Islam, terj. Muhammad Jawab Bafaqih.Jakarta: Penerbit Lentera.

Panel Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (2005). Pengurusan Dalam Islam Menghayati Prinsip dan Nilai Qurani, Kuala Lumpur: Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.

Siddiq Fadzil (2009). Pandangan Sarwa Islami. Diakses dari http://drsiddiqfadzil.blogspot.com/2009/08/pandangan-sarwaislamic.html,pada 15 Oktober 2010.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1996). TheWorldview of Islam: An Outline, dlm. Sharifah Shifa al-Attas,ed.,Islam and the Challenge of Modernity: Historical and Contemporary Context. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Though and Civilization (ISTAC).



[1] Siti Rushada Binti Md Zainudin merupakan pelajar Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

[2] Tiga pokok utama tasawur iaitu Allah SWT sebagai Pencipta, manusia sebagai hamba dan khalifah serta sumber alam sebagai makhluk (Muhammad Syukri Salleh, 2003:21).Hal ini dibuktikan dalam al-Quran tentang Pencipta, khalifah dan sumber alam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus berbagai macam urusan) yang mempunyai sayap, masing-masing ada dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”. (Faathir 35:45).

Dalam al-Quran telah menerangkan ciptaan manusia sebagai khalifah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui" (al-Baqarah 2:30).

Sumber alam telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui” (al-Baqarah 2:22).

[3] Mardhatillah adalah matlamat akhir dalam Islam untuk mencari keredhaan Allah SWT Dengan keredhaan itu manusia akan mendapat kebahagian dunia dan akhirat (Muhammad Syukri Salleh, 2003:81).

[4] Al-falah di sini merujuk kepada matlamat utama sistem pengurusan Islam yang membawa makna tersurat dan tersirat. Dari segi bahasa, al-falah merupakan perkataan bahasa Arab yang berasal daripada kata akar “falaha” yang membawa pengertian iaitu berjaya atau beroleh kemenangan. Manakala ‘al-falah’ bermaksud berjaya, selamat dan kekal dalam kesenangan, kenikmatan, kebaikan dan kesejahteraan. Lihat ibn Manzur (1990). Dari segi Istilah pula, al-falah merujuk kepada kesejahteraan dunia dan akhirat serta keredhaan Allah s.w.t. Ia menuntut agar manusia beramal dan berusaha bersungguh-sungguh serta bekerja gigih untuk mendapat hasil yang terbaik dalam apa jua bidang bagi mengecapi kebahagian di dunia dan kebahagian di akhirat. Kejayaan yang sebenar dapat dikecapi apabila kedua-dua kehidupan tersebut mencapai keseimbangan (Muhammad Nejatullah Siddiqi, 1972: 3-4).

[5]Rabb’ (Tuhan) iaitu asal daripada al-Rabbaniyyah. Menurut Haron Din (1992: 27), ia bermaksud Pemilik yang berkuasa, yang menguruskan dan Dialah yang paling tinggi. Meskipun ungkapan al-Rabbaniyyah atau Rabbani berbeza tetapi kedua-dua masih selari dan paksinya kekuasaan Allah SWT. Al-Rabbaniyyah merupakan konsep yang menjadi akar umbi atau dasar utama tasawur.

[6] Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Yang (berbuat) demikian itulah Allah Tuhanmu, kepunyaan-Nyalah kerajaan. Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempunyai apa-apa walaupun setipis kulit ari”. (Fatir 35:13).

[7] Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi-ku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh” (Al-Zariyat,51:56-58).

[8] Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanya milik Allah asmaa-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan” (al-A’raf, 7:180).

[9] Hal ini dibuktikan dengan firman Allah yang bermaksud: “Orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, mempunyai sifat yang buruk; dan Allah mempunyai sifat yang Maha Tinggi dan Dia-Lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (al-Nah, 16:60).



[10] Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman; iaitu orang-orang yang khusu’ dalam sembahyangnya; dan mereka yng menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya dan hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampau batasan; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya” (al-Mu’minum, 23: 1-11).

[11] Dan firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) maka gementarlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat-Nya maka menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka” (al-Anfal, 8: 2-3).

[12] Hal ini dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: “Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu” (al-Baqarah, 2:29).

[13] Firman Allah lagi yang bermaksud: Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan” (al-Baqarah, 2:205).

[14] Terjemahan bagi ayat ke-38 Surah al-Syura ini ialah “Dan (bagi) orang- orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan sembahyang, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka”.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment