Friday, August 27, 2010

Ayuh Pulihkan Penyakit Negara

Malaysia banyak berlaku maksiat secara berleluasa. Keadaan ini terbukti apabila masalah peningkatan pembuangan bayi, perjudian dan sebagainya. Fenomena ini amat membimbangkan apabila ramai umat Islam yang terlibat secara holistik. Gambaran keadaan manusia akhir zaman, kebanyakannya mereka telah terjerumus dalam dosa-dosa dan maksiat secara terang-terangan dan membangga-banggakannya (Abu Fatiah Al-Adhani, 2007:96). Apabila melihatkan keadaan ini, maka Islam telah mengingatkan supaya tidak melampaui batasan. Rasulullah s.a w telah meninggalkan al-Quran dan hadis kepada umatnya. Maka ia dijadikan sebagai panduan hidup sepertimana yang disyariatkan oleh Islam. Islam juga menganjurkan agar umatnya menjaga dan mempertahankan harga diri daripada bencana kemurkaan Allah s.w.t. Kewajipan menjaga dan mempertahankan kehormatan diri membawa maksud seseorang itu memelihara dirinya daripada bencana sama ada berpunca daripada orang lain atau dirinya sendiri, terutamanya dalam hal yang melanggar perintah Allah. (Akhmal Hj.Mohd.Zain, 2007:367).

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan juga keluargamu dari api neraka” (at-Tahriim, 26:6)

Daripada ayat di atas maka setiap manusia mempunyai tanggungjawab memelihara diri, keluarga dan sekeliling. Amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mukmin itu akan dipersoal oleh Allah nanti. Maka Islam menganjurkan agar umatnya saling ingat mengingati dan berpesan-pesan antara satu sama lain ke jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Selain itu, menerusi pentadbiran negara khususnya dalam politik. Jika kita perhatikan ruangan politik khasnya dalam pentadbiran awam mahupun swasta juga berlaku pelbagai kemungkaran. Isu berkaitan berkaitan dengan pecah amanah, nepotisme dan kronisme, rasuah, penyelewengan, dan sebagainya sering berlaku. Menurut kajian yang dijalankan dalam Transparency International melalui Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index 2009 telah menunjukkan Malaysia berada pada tahap ke-56 diperingkat antarabangsa yang melibatkan indek rasuah dunia. Rasuah dalam perspektif Islam adalah haram. Dalam al-Quran terdapat ayat yang melarang perbuatan rasuah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa padahal kamu mengetahui(salahnya). (al-Baqarah, 2:188).

Melalui ayat ini, peringatan Allah s.w.t jelas kepada manusia tentang larangan rasuah. Maka perkara yang telah diharamkan perlu ditegah dan dijauhkan. Tambahan pula amalan mengambil rasuah ini akan melibatkan perbuatan yang tidak amanah dalam menjalani tanggungjawab. Sekirannya ia tidak diatasi, kemungkinan besar akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t. sepertimana umat terdahulu yang pernah dibinasakan.

Menurut Zulhafidz, satu perbuatan maksiat sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat baik di dunia mahupun akhirat. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi nahi mungkar tidak boleh dibuat terhadap kes-kes atau kemungkaran tertentu sahaja. Sebaliknya ia perlu bersifat menyeluruh tanpa ada pengecualian jika benar-benar ikhlas untuk menjaga amanah dan kepimpinan yang telah dipertanggungjawabkan oleh rakyat dan negara. Namun begitu, kesedaran agama yang telah disyariatkan perlu dititikberatkan dan diaplikasikan bukan sekadar cukup untuk mengetahui tetapi tidak dilaksanakan. Perkara yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada keengganan manusia yang mencipta undang-undang dengan tidak berlandaskan kepada hukum-hukum yang terkandung dalam sumber al-Quran dan hadis. Misalnya, hukuman judi, zina dan minum arak serta lain-lain lagi. Maka kesan daripada keengganan ini, menyebabkan maksiat menjadi berleluasa malahan semakin meluas walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

Menurut Zulhafidz lagi, isu maksiat di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan. Contohnya kes pembunuhan, pembuangan bayi hasil daripada perzinaan semakin banyak dilaporkan dalam akhbar tempatan. Oleh yang demikian, sebagai muslim maka Islam menganjurkan agar pengikutnya menghitung kembali perbuatan dan kelakuan telah dilakukan. Maka ia dapat memberi justifikasi ke arah kebaikan melalui muhasabah diri memandangkan kehidupan dunia ini sebagai tempat persinggahan yang bersifat fana dan sementara untuk pelaburan akhirat kelak.

Tambahan pula, bagi menegakkan “amar ma’ruf Nahi mungkar” adalah satu amanah dan tanggungjawab setiap muslim. Ia sangat dituntut dalam Islam. Ia bertujuan supaya manusia sentiasa berada di atas landasan yang betul tidak menyimpang dari syariat Islam. Tambahan pula, tindakan ini digalakkan melakukannya secara berjemaah untuk mengajak ke arah kebaikan. Hal ini kerana Islam menganjurkan umatnya ke arah kebaikan dan kesejahteraan ummah dalam membimbing hati manusia.

Sebagaimana sabdaan Rasullullah s.a.w bermaksud:


“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya(kuasanya). Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Dan jika ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman”.

Abu Hurairah r.a berkata:

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Anjurkan lah kebaikan itu meskipun kamu belum dapat mengerjakannya dan cegahlah segala yang mungkar meskipun kamu belum menghentikannya.”



Islam adalah agama universal yang datangnya dari Allah s.w.t. Jadi Islam mementingkan aspek kemasyarakatan. Islam bukanlah hanya tumpuan khusus terhadap individualistik malahan juga menitikberatkan ummah. Jadi saling mengingati dan berpesan-pesan adalah digalakkan oleh Islam. Hal ini kerana segala perbuatan kita semasa di dunia akan disoal pada hari qiamat nanti. Semuanya mempunyai nilai yang membezakan apa yang baik dan buruk ganjarannya akan menyusul kelak.

Seterusnya Zulhafidz menjelaskan pula, terdapat pandangan yang negatif dalam kalangan masyarakat Islam. Urusan maksiat dianggap hal peribadi yang tidak boleh diambil tahu oleh orang lain kerana ia dirasakan sebagai hak asasi. Keadaan ini jelas terpesong dan bercanggah dengan syariat Islam. Maka selagi pandangan terpesong ini tidak ditangkis maka amalan dan perbuatan maksiat kemungkinan besar akan terus bertali arus.

Dalam menghadapi hidup di dunia, rohul-tamayyiz memainkan peranan yang sangat penting. Ia dipanggil akal apabila berfikir, dipanggil qalbu atau hati apabila berperasaan dan dipanggil nafsu apabila berkeinginan atau berkehendak. “Raja pemerintah” diri manusia ialah qalbu manakala akal dan nafsu ialah rakyatnaya. Kalbu itu menjadi “raja” kerana di situlah tapak kepada iman. Semakin tinggi iman, semakin benarlah pemerintahanya, manakala semakin rendah iman, semakin batillah pemerintahannya. Sekirannya iman menurun pada tahap yang rendah, takhta qalbu dirampas oleh nafsu yang jahat. Apabila nafsu mengambil alih pemerintahan qalbu, maka rosaklah manusia.(Muhammad Syukri Salleh 2003:28). Pembentukkan hati hasil daripada perbuatan maksiat akan membentuk akhlak seseorang. Acuan asas pembentukan hati sekirannya tersalah bentuk maka akan merosakkan ummah. Hal ini kerana setiap reaksi dan tingkahlaku bermula dengan niat. Jika seseorang itu gagal mengawal hati maka nafsu akan menguasai akal.

Tegas Zulhafidz yang terakhir, beliau mengajak semua muslim bermuhasabah diri sebelum berhadapan dengan Allah s.w.t Maka, muslim seharusnya bersyukur dengan nikmat kesempatan dan peluang yang masih diberikan. Justeru itu, memanfaatkan peluang yang masa ada agar tidak tergolong dalam golongan yang lalai . Maka daripada penilaian tersebut didapati bahawa jelas manusia itu sering berada dalam kerugian seperti dalam surah al-Asr. Dengan itu, muslim perlu mengingati Allah dan hari kematian secara istiqamah. Maka secara langsung dapat membentuk perasaan takut dan taat kepada Allah. Oleh itu jadikanlah dunia ini sebagai persinggahan untuk pelaburan sebagai persiapan di akhirat kelak.

Rujukan

Abu Fatiah Al-Adhani. (2007), Fitnah & Petaka Akhir Zaman: Detik-Detik Menuju Hari Kehancuran Alam Semesta. Cemani, Solo: Granada Mediatama

Akhmal Hj.Mohd.Zain. (2007), Asas Pengetahuan Agama Islam (Tuhid,Fekah & Akhlak). Kuala Lumpur: Ar-Risalah Product Sdn.Bhd

Muhammad Syukri Salleh. (2003), Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn.Bhd

Transparency Internation. (2009) Corruption Perception Index. Diakses dari http://www.transparency.org/policyresearch/surveyindices/cpi/2009table pada 3 Oktober 2010



Link Kepada Artikel Asal

No comments:

Post a Comment