Wednesday, March 30, 2011

SETIAP YANG HIDUP PASTI MERASAKAN MATI


Pada tanggal 24 Januari 2006, keluargaku diuji dengan kematian babaku Md Zainudin bin Yeop ketika berumur 43 tahun. Aku masih ingat lagi renungan terakhir arwah baba pada jam 6.30 pagi sebelum aku melanggah ke sekolah.

Kring...kring..kring..loceng sekolah berbunyi menandakan perhimpunan seperti biasa. Aku dan teman-teman beratur dan khusuk mendengar ucapan oleh para guru. Tiba-tiba datang dua orang guru dengan wajah yang agak serius menghampiriku. Kemudian aku agak binggung melihat telatah guru tersebut. Mereka memegang tanganku dan membawa aku ke satu sudut. Lalu mereka mengusap-ngusap belakangku lalu memberi nasihat secara psikologi. Pada mulanya aku tidak mengerti apa sebenarnya yang mahu disampaikan oleh guru tersebut. Akhirnya mereka memberi tahu "Rushada, kami harap kamu bersabar, ada berita mengenai ayah kamu telah meningal dunia". kata-kata tersebut aku masih ingat sehingga saat ini. Tiba-tiba duniaku rasakan gelap dan kelam.

Setiap yang hidup pasti merasakan mati. Itulah kata-kata terakhir yang tergiang ditelinga. Setibanya di pekarangan rumah bersama dengan guru, aku mendapati ramai manusia berpusu-pusu memenuhi ruang dan aku perhatikan sekujur tubuh dipembaringan dan dipenuhi dengan ayunan bacaan yaasin. Tidak ada apa yang dapat aku katakan. Innalillahiwainnailaihirajiun.

Aku tatapi raut wajah arwah baba, tak ubah seperti dalam tidur. Manis dan tenang sekali wajahnya. Ibuku menyapaku menyatakan babaku meningal dunia setelah selesai solat subuh. Tidak ada apa yang dapat aku katakan hanya jawapan dengan linangan air mata.

Kini aku dan keluarga kehilangan insan yang bergelar baba. Tidak ada penganti sehingga sekarang. Namun aku dan keluarga redha atas ketentuan darinya dan kehilangan itu masih dirasai sampai saat ini. Walau apapun aku masih merasakan semangat baba masih ada sehingga ke saat ini.

kepada baba yangku kasihi, aku harapkan Allah menempatkanmu dalam kalangan orang yang soleh dan tenang di sana. Aku harapkan suatu masa nanti Allah pertemukan kita kembali di alam mendatang. Insya Allah.

Wassalam





Tuesday, March 29, 2011

30 Mac 2011 -SYAHID

"Cepat tinggalkan rumah ini ada bom" Bisikan tersebut menpengaruhi langkahku. Aku bangun meninggalkan rumahku menuju ke tebing sungai yang berdekatan dengan rumah. Walaupun hatiku tidak rela meninggalkan keluargaku. Tapi aku rasakan nyawaku adalah lebih penting dari segala-galanya. Aku juga tahu tidak mungkin aku boleh menyelamatkan ahli keluarga ku lagi hanya bisikan dalam hati. Semoga Allah melindungi mereka. Aku juga menyalahkan diri kenapa aku pentingkan diri dan membiarkan ahli keluargaku yang nyenyak tidur dalam rumah yang bakal hancur dengan bom. Ya Allah, aku tidak punya kekuatan untuk membantu mereka. Mohon ya Allah aku insan yang lemah.

Seketika itu, aku menyelamkan kepala ke dalam air sungai kerana tidak ingin mendengar dentuman ledakan bom yang telah dipasang oleh pengkianat yang tidak diketahui. Aku mula membayangkan aku akan jadi manusia yang yatim piatu. Wajah-wajah ahli keluargaku seakan-akan menunjukan lambaian terakhir. Tiba-tiba aku kedengaran dentuman yang paling kuat. Hanya Allah sahaja yang tahu kekuatan bom yang meletus di rumahku. Kemudian dengan ketakutan aku cuba memberanikan diri untuk bergegas ke rumah untuk melihat apa yang telah terjadi. Aku rebah melihat tulang belulang ada percikan isi dan kulit ahli keluargaku. Allahuakhbar..Laa illahaillallah..Ketika jiwaku bagaikan melayang ntah ke mana. Tiba-tiba diriku di sapa, kak Ila, "mak dah tak ada" ujar adik lelaki dan adik perempuanku sambil menangis di pelukanku. Mereka selamat tetapi ibuku yang pergi meninggalkan kami.

Dalam kehibaan hatiku...Aku tersedar daripada syahidku.. Allahuakhabar.. daku hanya bermimpi. Subhanallah.. Tercengangku dibuatnya..Jam telah menunjukkan pukul 5 pagi. Mimpi ngeri itu menjadi igauan siang hariku. Ku Mohon Ya Allah lindungilah aku dan ahli keluargaku daripada musibah sepertimana di dalam mimpi tersebut. Mimpi tersebut bagiku suatu ujian yang paling besar. Aku insan yang lemah tidak punya apa-apa hanya berlindung dengan rahmat-Nya.

Saturday, March 5, 2011

Vitamin B complex dan Folic Asid

Salah satu fungsi B-Compleks yang kita kena tahu ialah menukarkan gula (makanan) menjadi tenaga (energy). Sekiranya kita tidak bergerak banyak, maklumlah banyak duduk nak tulis disertasi, paper work . Jadi tenaga ini akan menghasilkan tenaga haba (ingat tak belajar fizik dulu, tenaga tidak boleh dicipta atau dimusnahkan tetapi akan bertukar dari satu bentuk tenaga lain ke bentuk yang lain). Jadi tenaga kinetik yang tidak digunakan ni (maklumlah duduk diam2 je) akan ditukar kepada tenaga haba, lalu menjadikan badan kita panas dan berpeluh.

Vitamin B-compleks juga melancarkan pengedaran oksigen ke seluruh tubuh, lalu menstabilkan hormon, sekaligus membaik pulih sistem pencernaan kita.
Bila sistem pencernaan kita lancar, kita akan cepat rasa lapar. Ia juga mengandungi niasin yang membantu menaikkan selera makan. Akan tetapi seperti yang saya katakan tadi, B complex berfungsi menukarkan makanan menjadi tenaga, jadi kita takkan obes walaupun makan banyak kerana makanan tu tak tersimpan macam tu je.. tapi berpada2 lah. Makan ikut keperluan, bukan ikut nafsu. Kalau main hantam saja, makanla vitamin apa pun kan?
Ibu mengandung dan menyusu amat2 lah di'tuntut' untuk mengambil B compleks. Selain dari ia mengandungi asid folik, B complex yang boleh mengalir ke dalam susu badan ini juga membantu anak2 yang menyusu menambahkan daya fokus mereka, kerana pengaliran oksigen dalam badan mereka disokong dengan pengambilan B-compleks oleh ibu.


Bagi mereka yang sering berhadapan dengan tekanan, B-compleks adalah penyelesaian terbaik, kerana selain dari melancarkan pengaliran oksigen, ia juga membantu merendahkan kadar asid amino di dalam darah yang boleh menyebabkan perasaan gementar dan tertekan.

Pengambilan B-Compleks akan menyebabkan urin menjadi kekuningan, sebagai indikasi bahawa badan memerlukan lebih banyak air, dan memekatkan warna susu badan
.
Fungsi B Compleks ialah:-
- menukarkan gula dalam makanan kepada tenaga
- meningkatkan fokus dan tumpuan berfikir
- mengelakkan penyakit beri2 akibat kekurangan vitamin B
- menggalakkan pertumbuhan
- penting untuk sistem saraf
- anti stress dan tekanan
- meningkatkan antibodi tubuh
- penting untuk sintesis dan aktiviti sel
- diperlukan untuk penghasilan hemoglobin (sel darah merah)
- mencegah anemia
- memberikan tenaga
- penting untuk metabolisma lemak,protin dan karbohidrat
- amat2 penting untuk pengidap kencing manis/diabetes untuk membantu penukaran gula kepada tenaga
- mengelakkan kecacatan pada bayi dalam kandungan (terutama spina bifida)
- mengurangkan kolesterol
- meningkatkan selera makan

Sumber semulajadi vitamin B-complex ialah sayuran hijau, kekacang.

wassalam
Rushada

Monday, September 27, 2010

Ciri-ciri Tasawur Islam: Al-Waqi’iyyah

Pendahuluan

Artikel ini membincangkan tentang konsep al-Waqi’iyyah. Perbincangan dalam kertas kerja ini terbahagi kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama membincangkan tentang konsep al-Waqi’iyyah. Ia memberi tumpuan kepada definisi dan pandangan para ulama’. Bahagian kedua pula menyentuh tentang hubung kait prinsip-prinsip al-Waqi’iyyah dengan pembangunan berteraskan Islam. Bahagian ketiga merupakan bahagian penutup dan rumusan daripada keseluruhan perbincangan dalam artikel ini.

Konsep Al-Waqi‘iyyah

Al-Waqi’iyyah boleh didefinisikan sebagai realiti dan kebenaran. Ia melibatkan ajaran Islam yang bersifat praktikal sesuai dijadikan amalan di dalam kehidupan manusia. Sebarang kemusykilan dan permasalahan serta persoalan yang berlaku sepanjang proses kehidupan manusia akan dapat diselesaikan mengikut kaedah Islam bergantung kepada keadaan dan kesesuaian realiti sebenar. Maka Islam itu dilihat sebagai fleksibel dalam menyelesaikan semua kemusykilan yang timbul bergantung kepada keadaan.

Dengan menjustifikasikan realiti, maka perlulah dimasukkan unsur “Memahami Realiti Kehidupan Semasa” mengikut senario tertentu bagi mereka yang hendak melakukan penilaian, perubahan dan membaiki keadaan yang terpesong jauh daripada petunjuk Islam yang asal. Jadi para fuqaha’(ahli fikah) dan mufti telah bertanggungjawab memberi jawapan terhadap sebarang kemusykilan agama yang timbul. Dalam hal ini, maka mereka ini seharusnya memahami keadaan realiti berkaitan dengan kehidupan semasa, sebelum memutuskan sebarang keputusan.

Maka atas dasar inilah Ibn al-Qayyim berpendapat bahawa seseorang faqih merupakan orang yang bijaksana dalam menggabungkan antara “hukum wajib” dan “keadaan semasa”. Beliau juga menegaskan asas mengenali realiti kehidupan adalah sangat penting disebabkan sekirannya mereka ini tidak memahami “realiti kehidupan” secara benar dan tidak memahami ‘pemerintah’ dan ‘larangan agama’, maka usahanya akan menimbulkan lebih banyak kerosakkan daripada kebaikan. Manakala Ahmad ibn Hanbal r.a juga menjelaskan bahawa di antara tuntutan yang mesti dipenuhi oleh seorang faqih ataupun mufti iaitu mereka perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan sikap pengasih serta mengenal realiti kehidupan manusia (dipetik dari Yusuf al-Qardhawi, 1992:103). Justeru itu, al-Waqiiyyah ini menitiberatkan kenyataan dan kebenaran dalam aspek realiti kehidupan sebenar tentang apa yang berlaku dalam menyelesaikan semua kemusykilan dengan bersandarkan hukum-hukum Islam untuk menjaga kebaikan secara bersama mengikut kesesuaian realiti semasa selagi ia tidak menyalahi syariat Islam.

Hubung kait Prinsip-prinsip Al-Waqi’iyyah dengan Pembangunan Berteraskan Islam

Prinsip yang wujud dalam al-Waqi’iyyah adalah menjadikan ibadah sebagai perkaedahan untuk pembangunan berteraskan Islam. Pertama, ajaran Islam bersifat praktikal dan bukanlah utopia (khayalan). Maka Islam mengambil kira kenyataan sebenar kehidupan manusia di dunia ini yang dipenuhi dengan unsur-unsur amal makruf nahi mungkar. Dalam masa yang sama juga membuat pertimbangan terhadap kekuatan dan kelemahan manusia secara adil bersandarkan sumber Islam iaitu al-Quran, hadis, Ijmak, qias ulama’. Justeru itulah ajaran Islam adalah lebih praktikal dan benar serta sesuai diamalkan dalam kehidupan seharian. Contohnya kefardhuan ibadah zakat hanya diwajibkan ke atas orang yang mempunyai harta dan kemampuan sahaja. Bagi mereka yang fakir miskin tidak dipaksa mengeluarkan zakat seperti golongan yang berharta.

Prinsip kedua, Islam berkemampuan menyelesaikan sebarang persoalan yang bersangkutan dengan kehidupan manusia. Hal ini dapat dilakukan dengan mengamalkan ajaran Islam secara holistik. Dengan kehebatan Allah s.w.t maka segala persoalan dan masalah kehidupan manusia adalah di dalam pengetahuanNya. Justeru itu, agama Allah s.w.t sahaja yang mampu menyelesaikan masalah dan memberi rukhsah dalam menjalani kehidupan di dunia sebagai proses persediaan hari akhirat. Dalam menilai tasawur Islam ia melibatkan al-Waqiiyyah yang menunjukkan situasi sebenar yang memaparkan unsur fleksibel Islam dalam memudahkan sesuatu amalan yang dituntut dalam syarak. Misalnya kandungan rukun Islam yang kedua iaitu solat merupakan ibadah asas yang wajib dilaksanakan oleh semua muslim. Solat ini tidak dapat dipisahkan antara muslim dengan Allah s.w.t secara langsung membina hubungan melalui pembentukan rohani (Muhammad Syukri Salleh, 2003:47). Walau apa cara sekali pun solat adalah wajib dan tidak boleh ditinggalkan kecuali disebabkan uzur syari’e. Maka banyak rukhsah yang telah diberikan oleh Allah s.w.t disebabkan penilaian bersandarkan al-Waqi’iyyah dalam memberi kemudahan kepada manusia untuk memenuhi tanggungjawab mereka terhadap Allah. Contohnya solat dapat dilakukan mengikut kemampuan muslim secara realiti sama ada secara berdiri, duduk dan berbaring. Manakala mereka yang bermusafir diberi kemudahan oleh Allah melalui solat Qasar dan Jama’.

Firman Allah s.w.t bermaksud:

“Allah tiada memberati seseorang itu, melainkan menurut kesanggupannya” (al-Baqarah, 2: 286).

Maksudnya Allah tidak sesekali membebankan hambanya dengan memaksa mereka melakukan sesuatu yang tiada kuasa. Oleh kerana itulah maka Allah s.w.t tidak memaksa orang sakit untuk solat seperti orang sihat, tetapi dilakukan menurut kemampuan diri (Akhmal Hj.Mohd.Zain, 2007: 278).

Maka solat dan zakat sebagai Ibadah asas ini dijadikan sebagai pengkaedahan dalam pembangunan berteraskan Islam dan dijustifikasikan secara signifikan dengan mengaplikasikan unsur al-Waqi’iyyah mengikut kesesuaian dalam beribadah yang menghubungkan manusia dengan Allah s.w.t (habluminallah)

Prinsip yang ketiga, Islam memberi ruang kepada perkembangan fikiran yang melahirkan tamadun ilmu. Ia meliputi ajaran Islam yang sentiasa menggalakkan manusia meningkatkan daya fikiran yang tinggi, kreatif dan inovatif bagi melahirkan tamadun yang gemilang. Terdapat ayat al-Quran dan hadis yang menyeru manusia supaya menuntut ilmu. Keadaan ini jelas dan benar menerusi ayat al-Quran yang pertama diturun adalah menuntut manusia membaca. Sehubungan dengan itulah Islam memberi keistimewaan kepada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Maka mereka diangkat darjat kemuliaan di sisi Allah s.w.t.. Tambahan pula, Rasulullah s.a.w. telah menyamakan orang yang menuntut ilmu dengan berjuang di jalan Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Daripada Anas r.a katanya; “Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu bererti ia telah berjuang di jalan Allah sehingga ia kembali ke rumahnya” (Hadis riwayat at-Tirmidhi dan ad-Darami ( Dipetik daripada Zukifli Ahmad, 2001:36)

Menerusi ilmu ini khasnya ilmu fardu Kifayah dan ilmu fardu ‘ain sebagai kerangka pembangunan Islam secara al-Waqi’iyyah. Ilmu fardu ‘ain menyediakan segala kerangka asas kepada manusia dalam usaha mereka melaksanakan tugas sebagai hamba Allah s.w.t. Ilmu fardu kifayah pula meliputi ilmu-ilmu seperti pembangunan, perundangan, perniagaan, perubatan dan lain lain lagi. Fardu ‘ain merupakan salah satu daripada dua bentuk ilmu dalam Islam. Ilmu fardu ‘ain merupakan ilmu yang dinamik dan boleh melahirkan pembangunan yang cukup progresif. Misalnya, dalam Tauhid dipelajari bahawa Allah s.w.t adalah pemberi rezeki yang mutlak. Manakala dalam Fekah pula diajar bahawa dalam perniagaan terdapat sumber rezeki yang banyak. Tetapi ia mesti dilaksanakan secara bersyariat. Antara syariat itu adalah dengan mengadakan ‘akad jual beli apabila berlakunya sesuatu transaksi perniagaan. Maka kedua-dua ilmu itu tidak mungkin dapat dihayati dan dilaksanakan kecuali dengan menjalankan perniagaan secara realiti. (Muhammad Syukri Salleh, 2003: 43)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada konsep al-Waqi’iyyah ini dapat disimpulkan bahawa justifikasi Islam adalah meluas dan fleksibel dalam melihat realiti dan kebenaran kehidupan semasa. Ia juga dilihat sebagai kaedah pengaplikasian secara praktikal selari dengan tuntutan syarak dan tidak membebankan umat Islam dalam kehidupan. Hal ini secara langsung dapat menyumbang kepada terlaksananya pembangunan berteraskan Islam.

Rujukan

Akmal Hj.Md.Zain (2007). Asas Pengetahuan Agama Islam( Tauhid, Fekah& Akhlak). Wilayah Persekutuan,Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers

Mohd Saudi Abdullah (tanpa tahun). Islam- Agama yang Indah. Diakses pada 22 Ogos 2010, dari http://www.reocities.com/smkta/islam.html

Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editionas Sdn.Bhd

Zulkifli Ahmad (2001). SPM Tasawur Islam. Perak: Pustaka Media Jaya

Yusuf Al-Qardhawi (1992). Wawasan Islam Antara Keaslian dan Kemodenan. Dar al-Sahwah,Kaherah,Mesir: Thinker Library Sdn Bhd