Monday, September 27, 2010

Ciri-ciri Tasawur Islam: Al-Waqi’iyyah

Pendahuluan

Artikel ini membincangkan tentang konsep al-Waqi’iyyah. Perbincangan dalam kertas kerja ini terbahagi kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama membincangkan tentang konsep al-Waqi’iyyah. Ia memberi tumpuan kepada definisi dan pandangan para ulama’. Bahagian kedua pula menyentuh tentang hubung kait prinsip-prinsip al-Waqi’iyyah dengan pembangunan berteraskan Islam. Bahagian ketiga merupakan bahagian penutup dan rumusan daripada keseluruhan perbincangan dalam artikel ini.

Konsep Al-Waqi‘iyyah

Al-Waqi’iyyah boleh didefinisikan sebagai realiti dan kebenaran. Ia melibatkan ajaran Islam yang bersifat praktikal sesuai dijadikan amalan di dalam kehidupan manusia. Sebarang kemusykilan dan permasalahan serta persoalan yang berlaku sepanjang proses kehidupan manusia akan dapat diselesaikan mengikut kaedah Islam bergantung kepada keadaan dan kesesuaian realiti sebenar. Maka Islam itu dilihat sebagai fleksibel dalam menyelesaikan semua kemusykilan yang timbul bergantung kepada keadaan.

Dengan menjustifikasikan realiti, maka perlulah dimasukkan unsur “Memahami Realiti Kehidupan Semasa” mengikut senario tertentu bagi mereka yang hendak melakukan penilaian, perubahan dan membaiki keadaan yang terpesong jauh daripada petunjuk Islam yang asal. Jadi para fuqaha’(ahli fikah) dan mufti telah bertanggungjawab memberi jawapan terhadap sebarang kemusykilan agama yang timbul. Dalam hal ini, maka mereka ini seharusnya memahami keadaan realiti berkaitan dengan kehidupan semasa, sebelum memutuskan sebarang keputusan.

Maka atas dasar inilah Ibn al-Qayyim berpendapat bahawa seseorang faqih merupakan orang yang bijaksana dalam menggabungkan antara “hukum wajib” dan “keadaan semasa”. Beliau juga menegaskan asas mengenali realiti kehidupan adalah sangat penting disebabkan sekirannya mereka ini tidak memahami “realiti kehidupan” secara benar dan tidak memahami ‘pemerintah’ dan ‘larangan agama’, maka usahanya akan menimbulkan lebih banyak kerosakkan daripada kebaikan. Manakala Ahmad ibn Hanbal r.a juga menjelaskan bahawa di antara tuntutan yang mesti dipenuhi oleh seorang faqih ataupun mufti iaitu mereka perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan sikap pengasih serta mengenal realiti kehidupan manusia (dipetik dari Yusuf al-Qardhawi, 1992:103). Justeru itu, al-Waqiiyyah ini menitiberatkan kenyataan dan kebenaran dalam aspek realiti kehidupan sebenar tentang apa yang berlaku dalam menyelesaikan semua kemusykilan dengan bersandarkan hukum-hukum Islam untuk menjaga kebaikan secara bersama mengikut kesesuaian realiti semasa selagi ia tidak menyalahi syariat Islam.

Hubung kait Prinsip-prinsip Al-Waqi’iyyah dengan Pembangunan Berteraskan Islam

Prinsip yang wujud dalam al-Waqi’iyyah adalah menjadikan ibadah sebagai perkaedahan untuk pembangunan berteraskan Islam. Pertama, ajaran Islam bersifat praktikal dan bukanlah utopia (khayalan). Maka Islam mengambil kira kenyataan sebenar kehidupan manusia di dunia ini yang dipenuhi dengan unsur-unsur amal makruf nahi mungkar. Dalam masa yang sama juga membuat pertimbangan terhadap kekuatan dan kelemahan manusia secara adil bersandarkan sumber Islam iaitu al-Quran, hadis, Ijmak, qias ulama’. Justeru itulah ajaran Islam adalah lebih praktikal dan benar serta sesuai diamalkan dalam kehidupan seharian. Contohnya kefardhuan ibadah zakat hanya diwajibkan ke atas orang yang mempunyai harta dan kemampuan sahaja. Bagi mereka yang fakir miskin tidak dipaksa mengeluarkan zakat seperti golongan yang berharta.

Prinsip kedua, Islam berkemampuan menyelesaikan sebarang persoalan yang bersangkutan dengan kehidupan manusia. Hal ini dapat dilakukan dengan mengamalkan ajaran Islam secara holistik. Dengan kehebatan Allah s.w.t maka segala persoalan dan masalah kehidupan manusia adalah di dalam pengetahuanNya. Justeru itu, agama Allah s.w.t sahaja yang mampu menyelesaikan masalah dan memberi rukhsah dalam menjalani kehidupan di dunia sebagai proses persediaan hari akhirat. Dalam menilai tasawur Islam ia melibatkan al-Waqiiyyah yang menunjukkan situasi sebenar yang memaparkan unsur fleksibel Islam dalam memudahkan sesuatu amalan yang dituntut dalam syarak. Misalnya kandungan rukun Islam yang kedua iaitu solat merupakan ibadah asas yang wajib dilaksanakan oleh semua muslim. Solat ini tidak dapat dipisahkan antara muslim dengan Allah s.w.t secara langsung membina hubungan melalui pembentukan rohani (Muhammad Syukri Salleh, 2003:47). Walau apa cara sekali pun solat adalah wajib dan tidak boleh ditinggalkan kecuali disebabkan uzur syari’e. Maka banyak rukhsah yang telah diberikan oleh Allah s.w.t disebabkan penilaian bersandarkan al-Waqi’iyyah dalam memberi kemudahan kepada manusia untuk memenuhi tanggungjawab mereka terhadap Allah. Contohnya solat dapat dilakukan mengikut kemampuan muslim secara realiti sama ada secara berdiri, duduk dan berbaring. Manakala mereka yang bermusafir diberi kemudahan oleh Allah melalui solat Qasar dan Jama’.

Firman Allah s.w.t bermaksud:

“Allah tiada memberati seseorang itu, melainkan menurut kesanggupannya” (al-Baqarah, 2: 286).

Maksudnya Allah tidak sesekali membebankan hambanya dengan memaksa mereka melakukan sesuatu yang tiada kuasa. Oleh kerana itulah maka Allah s.w.t tidak memaksa orang sakit untuk solat seperti orang sihat, tetapi dilakukan menurut kemampuan diri (Akhmal Hj.Mohd.Zain, 2007: 278).

Maka solat dan zakat sebagai Ibadah asas ini dijadikan sebagai pengkaedahan dalam pembangunan berteraskan Islam dan dijustifikasikan secara signifikan dengan mengaplikasikan unsur al-Waqi’iyyah mengikut kesesuaian dalam beribadah yang menghubungkan manusia dengan Allah s.w.t (habluminallah)

Prinsip yang ketiga, Islam memberi ruang kepada perkembangan fikiran yang melahirkan tamadun ilmu. Ia meliputi ajaran Islam yang sentiasa menggalakkan manusia meningkatkan daya fikiran yang tinggi, kreatif dan inovatif bagi melahirkan tamadun yang gemilang. Terdapat ayat al-Quran dan hadis yang menyeru manusia supaya menuntut ilmu. Keadaan ini jelas dan benar menerusi ayat al-Quran yang pertama diturun adalah menuntut manusia membaca. Sehubungan dengan itulah Islam memberi keistimewaan kepada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Maka mereka diangkat darjat kemuliaan di sisi Allah s.w.t.. Tambahan pula, Rasulullah s.a.w. telah menyamakan orang yang menuntut ilmu dengan berjuang di jalan Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Daripada Anas r.a katanya; “Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu bererti ia telah berjuang di jalan Allah sehingga ia kembali ke rumahnya” (Hadis riwayat at-Tirmidhi dan ad-Darami ( Dipetik daripada Zukifli Ahmad, 2001:36)

Menerusi ilmu ini khasnya ilmu fardu Kifayah dan ilmu fardu ‘ain sebagai kerangka pembangunan Islam secara al-Waqi’iyyah. Ilmu fardu ‘ain menyediakan segala kerangka asas kepada manusia dalam usaha mereka melaksanakan tugas sebagai hamba Allah s.w.t. Ilmu fardu kifayah pula meliputi ilmu-ilmu seperti pembangunan, perundangan, perniagaan, perubatan dan lain lain lagi. Fardu ‘ain merupakan salah satu daripada dua bentuk ilmu dalam Islam. Ilmu fardu ‘ain merupakan ilmu yang dinamik dan boleh melahirkan pembangunan yang cukup progresif. Misalnya, dalam Tauhid dipelajari bahawa Allah s.w.t adalah pemberi rezeki yang mutlak. Manakala dalam Fekah pula diajar bahawa dalam perniagaan terdapat sumber rezeki yang banyak. Tetapi ia mesti dilaksanakan secara bersyariat. Antara syariat itu adalah dengan mengadakan ‘akad jual beli apabila berlakunya sesuatu transaksi perniagaan. Maka kedua-dua ilmu itu tidak mungkin dapat dihayati dan dilaksanakan kecuali dengan menjalankan perniagaan secara realiti. (Muhammad Syukri Salleh, 2003: 43)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada konsep al-Waqi’iyyah ini dapat disimpulkan bahawa justifikasi Islam adalah meluas dan fleksibel dalam melihat realiti dan kebenaran kehidupan semasa. Ia juga dilihat sebagai kaedah pengaplikasian secara praktikal selari dengan tuntutan syarak dan tidak membebankan umat Islam dalam kehidupan. Hal ini secara langsung dapat menyumbang kepada terlaksananya pembangunan berteraskan Islam.

Rujukan

Akmal Hj.Md.Zain (2007). Asas Pengetahuan Agama Islam( Tauhid, Fekah& Akhlak). Wilayah Persekutuan,Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers

Mohd Saudi Abdullah (tanpa tahun). Islam- Agama yang Indah. Diakses pada 22 Ogos 2010, dari http://www.reocities.com/smkta/islam.html

Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editionas Sdn.Bhd

Zulkifli Ahmad (2001). SPM Tasawur Islam. Perak: Pustaka Media Jaya

Yusuf Al-Qardhawi (1992). Wawasan Islam Antara Keaslian dan Kemodenan. Dar al-Sahwah,Kaherah,Mesir: Thinker Library Sdn Bhd


Friday, August 27, 2010

Ayuh Pulihkan Penyakit Negara

Malaysia banyak berlaku maksiat secara berleluasa. Keadaan ini terbukti apabila masalah peningkatan pembuangan bayi, perjudian dan sebagainya. Fenomena ini amat membimbangkan apabila ramai umat Islam yang terlibat secara holistik. Gambaran keadaan manusia akhir zaman, kebanyakannya mereka telah terjerumus dalam dosa-dosa dan maksiat secara terang-terangan dan membangga-banggakannya (Abu Fatiah Al-Adhani, 2007:96). Apabila melihatkan keadaan ini, maka Islam telah mengingatkan supaya tidak melampaui batasan. Rasulullah s.a w telah meninggalkan al-Quran dan hadis kepada umatnya. Maka ia dijadikan sebagai panduan hidup sepertimana yang disyariatkan oleh Islam. Islam juga menganjurkan agar umatnya menjaga dan mempertahankan harga diri daripada bencana kemurkaan Allah s.w.t. Kewajipan menjaga dan mempertahankan kehormatan diri membawa maksud seseorang itu memelihara dirinya daripada bencana sama ada berpunca daripada orang lain atau dirinya sendiri, terutamanya dalam hal yang melanggar perintah Allah. (Akhmal Hj.Mohd.Zain, 2007:367).

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan juga keluargamu dari api neraka” (at-Tahriim, 26:6)

Daripada ayat di atas maka setiap manusia mempunyai tanggungjawab memelihara diri, keluarga dan sekeliling. Amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mukmin itu akan dipersoal oleh Allah nanti. Maka Islam menganjurkan agar umatnya saling ingat mengingati dan berpesan-pesan antara satu sama lain ke jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Selain itu, menerusi pentadbiran negara khususnya dalam politik. Jika kita perhatikan ruangan politik khasnya dalam pentadbiran awam mahupun swasta juga berlaku pelbagai kemungkaran. Isu berkaitan berkaitan dengan pecah amanah, nepotisme dan kronisme, rasuah, penyelewengan, dan sebagainya sering berlaku. Menurut kajian yang dijalankan dalam Transparency International melalui Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index 2009 telah menunjukkan Malaysia berada pada tahap ke-56 diperingkat antarabangsa yang melibatkan indek rasuah dunia. Rasuah dalam perspektif Islam adalah haram. Dalam al-Quran terdapat ayat yang melarang perbuatan rasuah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa padahal kamu mengetahui(salahnya). (al-Baqarah, 2:188).

Melalui ayat ini, peringatan Allah s.w.t jelas kepada manusia tentang larangan rasuah. Maka perkara yang telah diharamkan perlu ditegah dan dijauhkan. Tambahan pula amalan mengambil rasuah ini akan melibatkan perbuatan yang tidak amanah dalam menjalani tanggungjawab. Sekirannya ia tidak diatasi, kemungkinan besar akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t. sepertimana umat terdahulu yang pernah dibinasakan.

Menurut Zulhafidz, satu perbuatan maksiat sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat baik di dunia mahupun akhirat. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi nahi mungkar tidak boleh dibuat terhadap kes-kes atau kemungkaran tertentu sahaja. Sebaliknya ia perlu bersifat menyeluruh tanpa ada pengecualian jika benar-benar ikhlas untuk menjaga amanah dan kepimpinan yang telah dipertanggungjawabkan oleh rakyat dan negara. Namun begitu, kesedaran agama yang telah disyariatkan perlu dititikberatkan dan diaplikasikan bukan sekadar cukup untuk mengetahui tetapi tidak dilaksanakan. Perkara yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada keengganan manusia yang mencipta undang-undang dengan tidak berlandaskan kepada hukum-hukum yang terkandung dalam sumber al-Quran dan hadis. Misalnya, hukuman judi, zina dan minum arak serta lain-lain lagi. Maka kesan daripada keengganan ini, menyebabkan maksiat menjadi berleluasa malahan semakin meluas walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

Menurut Zulhafidz lagi, isu maksiat di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan. Contohnya kes pembunuhan, pembuangan bayi hasil daripada perzinaan semakin banyak dilaporkan dalam akhbar tempatan. Oleh yang demikian, sebagai muslim maka Islam menganjurkan agar pengikutnya menghitung kembali perbuatan dan kelakuan telah dilakukan. Maka ia dapat memberi justifikasi ke arah kebaikan melalui muhasabah diri memandangkan kehidupan dunia ini sebagai tempat persinggahan yang bersifat fana dan sementara untuk pelaburan akhirat kelak.

Tambahan pula, bagi menegakkan “amar ma’ruf Nahi mungkar” adalah satu amanah dan tanggungjawab setiap muslim. Ia sangat dituntut dalam Islam. Ia bertujuan supaya manusia sentiasa berada di atas landasan yang betul tidak menyimpang dari syariat Islam. Tambahan pula, tindakan ini digalakkan melakukannya secara berjemaah untuk mengajak ke arah kebaikan. Hal ini kerana Islam menganjurkan umatnya ke arah kebaikan dan kesejahteraan ummah dalam membimbing hati manusia.

Sebagaimana sabdaan Rasullullah s.a.w bermaksud:


“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya(kuasanya). Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Dan jika ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman”.

Abu Hurairah r.a berkata:

“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Anjurkan lah kebaikan itu meskipun kamu belum dapat mengerjakannya dan cegahlah segala yang mungkar meskipun kamu belum menghentikannya.”



Islam adalah agama universal yang datangnya dari Allah s.w.t. Jadi Islam mementingkan aspek kemasyarakatan. Islam bukanlah hanya tumpuan khusus terhadap individualistik malahan juga menitikberatkan ummah. Jadi saling mengingati dan berpesan-pesan adalah digalakkan oleh Islam. Hal ini kerana segala perbuatan kita semasa di dunia akan disoal pada hari qiamat nanti. Semuanya mempunyai nilai yang membezakan apa yang baik dan buruk ganjarannya akan menyusul kelak.

Seterusnya Zulhafidz menjelaskan pula, terdapat pandangan yang negatif dalam kalangan masyarakat Islam. Urusan maksiat dianggap hal peribadi yang tidak boleh diambil tahu oleh orang lain kerana ia dirasakan sebagai hak asasi. Keadaan ini jelas terpesong dan bercanggah dengan syariat Islam. Maka selagi pandangan terpesong ini tidak ditangkis maka amalan dan perbuatan maksiat kemungkinan besar akan terus bertali arus.

Dalam menghadapi hidup di dunia, rohul-tamayyiz memainkan peranan yang sangat penting. Ia dipanggil akal apabila berfikir, dipanggil qalbu atau hati apabila berperasaan dan dipanggil nafsu apabila berkeinginan atau berkehendak. “Raja pemerintah” diri manusia ialah qalbu manakala akal dan nafsu ialah rakyatnaya. Kalbu itu menjadi “raja” kerana di situlah tapak kepada iman. Semakin tinggi iman, semakin benarlah pemerintahanya, manakala semakin rendah iman, semakin batillah pemerintahannya. Sekirannya iman menurun pada tahap yang rendah, takhta qalbu dirampas oleh nafsu yang jahat. Apabila nafsu mengambil alih pemerintahan qalbu, maka rosaklah manusia.(Muhammad Syukri Salleh 2003:28). Pembentukkan hati hasil daripada perbuatan maksiat akan membentuk akhlak seseorang. Acuan asas pembentukan hati sekirannya tersalah bentuk maka akan merosakkan ummah. Hal ini kerana setiap reaksi dan tingkahlaku bermula dengan niat. Jika seseorang itu gagal mengawal hati maka nafsu akan menguasai akal.

Tegas Zulhafidz yang terakhir, beliau mengajak semua muslim bermuhasabah diri sebelum berhadapan dengan Allah s.w.t Maka, muslim seharusnya bersyukur dengan nikmat kesempatan dan peluang yang masih diberikan. Justeru itu, memanfaatkan peluang yang masa ada agar tidak tergolong dalam golongan yang lalai . Maka daripada penilaian tersebut didapati bahawa jelas manusia itu sering berada dalam kerugian seperti dalam surah al-Asr. Dengan itu, muslim perlu mengingati Allah dan hari kematian secara istiqamah. Maka secara langsung dapat membentuk perasaan takut dan taat kepada Allah. Oleh itu jadikanlah dunia ini sebagai persinggahan untuk pelaburan sebagai persiapan di akhirat kelak.

Rujukan

Abu Fatiah Al-Adhani. (2007), Fitnah & Petaka Akhir Zaman: Detik-Detik Menuju Hari Kehancuran Alam Semesta. Cemani, Solo: Granada Mediatama

Akhmal Hj.Mohd.Zain. (2007), Asas Pengetahuan Agama Islam (Tuhid,Fekah & Akhlak). Kuala Lumpur: Ar-Risalah Product Sdn.Bhd

Muhammad Syukri Salleh. (2003), Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn.Bhd

Transparency Internation. (2009) Corruption Perception Index. Diakses dari http://www.transparency.org/policyresearch/surveyindices/cpi/2009table pada 3 Oktober 2010



Link Kepada Artikel Asal

Tuesday, August 10, 2010

Bahaya Bahan Lucah di Internet

Krisis moral khasnya umat Islam di Malaysia sangat tinggi. Hampir setiap hari kes pembuangan bayi dilaporkan. Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan apabila bayi dibuang di merata-rata tempat dan dipercayai hasil dari perzinaan. Perbuatan zina dipercayaai meningkat ekoran kes pendaftaran bayi yang lahir tanpa nama bapa.Kerisauan ini jelas dilontarkan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah. Namun isu perzinaan dan krisis keruntuhan moral ini membimbangkan tetapi usaha kerajaan "bagaikan mencurah air di daun keladi". Tambahan pula, sekirannya masalah ini tidak diatasi maka keadaan ini menambahkan lagi kerisauan, mungkin generasi Islam mungkin diwarisi hasil perzinaan. Jadi di manakah lagi maruah agama Islam? Sedangkan Islam amat menitikberatkan tentang nasab dan menjaga kesucian keturunan.

Sama ada kita sedar atau tidak tentang hakikat sebenar bahawa agama Islam dan umatnya kini berhadapan dengan pelbagai ancaman daripada pelbagai aspek yang banyak mengoyahkan kekuatan Islam. Ia meliputi aspek akidah, syariat, akhlak, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Misalnya, pengaruh globalisasi dan kecangihan teknologi melalui internet banyak unsur-unsur maksiat yang menyumbang kepada masalah keruntuhan akhlak, pergaulan bebas yang boleh mengundang zina, pembuangan bayi dan berlaku pembunuhan . Hal ini berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor seperti akidah yang rapuh, hawa nafsu yang melampaui batasan, mementingkan kehidupan duniawi, kurang penghayatan nilai-nilai Islam dan lalai akan peringatan serta larangan Allah. Apa yang kita dapat lihat hari ini adalah amat berbeza ketika zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang sanggup berjihad untuk menegakkan kalimah syahadah dan mempertahankan agama Tauhid dari musuh Islam. Tetapi apa yang berlaku sekarang masyarakat Islam kini ramai yang telah mencemari dan meruntuhkan kesucian dan maruah agama Islam. Tambahan pula, globalisasi khasnya pengaruh barat iaitu melalui terjahan media massa telah banyak mengambil peluang memberi impak batil sehingga masyarakat Islam tidak mengambil peduli dengan larangan dan peringatan Allah s.w.t dalam al-Quran serta hadis.

Menurut Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, baginda menegaskan umat Islam sepatutnya tidak terlibat dengan perzinaan disebabkan telah dipagari oleh larangan zina tanpa ikatan perkahwinan. Tetapi masalah hubungan tanpa nikah ini semakin parah dalam masyarakat kini melalui pergaulan tanpa batasan dan anjakan pemikiran menganggap teguran serta pencegahan sebuah aksi kongkongan batas sosial.
.
Firman Allah s.w.t:

“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk” Surah (Al Isra’,17:32)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tidak berada di tempat sunyi (berkalwat) dia antara lelaki dan perempuan kecuali yang ketiga adalah syaitan”.


Dunia akhir zaman ini, ramai umat Islam yang melanggar perintah dan tidak takut pada peringatan serta larangan Allah s.w.t. Ramai wanita mendedahkan aurat dengan berpakaian yang tidak mengikut syariat Islam. Masalah penzinaan, hamil luar nikah dan pembuangan bayi menjadi topik hangat hari ini. Ramai umat Islam sendiri yang terlibat. Jadi di manakah lagi maruah agama dan kesucian Islam yang dijaga dan dipelihara semenjak zaman Rasulullah terdahulu? Umat Islam hari ini banyak ke arah mengkianati terhadap agama Islam sendiri.

Dari al-Quran dan Hadis jelas telah memberi peringatan agar kita tidak mendekatkan diri dengan pintu-pintu ke arah zina dan perkara-perkara yang boleh mendatangkan maksiat seperti pergaulan bebas, menjaga pancaindera dari unsur-unsur maksiat seperti jangan melihat aurat orang lain termasuk juga bahan lucah dan sebagainya. Hal ini kerana pengaruh dan godaan syaitan sering menguji iman dan ketaqwaan manusia dari zaman nabi Adam a.s sehinggalah umat nabi Muhammad s.a.w pada akhir zaman ini. Dengan itu pergaulan antara lelaki dan perempuan mempunyai had dan saling memelihara batasan pergaulan. Memelihara aurat dan kehormatan diri adalah dituntut oleh agama di samping menjaga hubungan kita dengan Allah s.w.t dan hubungan kita sesama manusia.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Allah menjadikan hidup dan mati manusia itu bertujuan untuk menguji sesiapa yang di antara kamu yang lebih baik amalannya” ( Al Mulk, 67:2)

Kini banyak berlaku keruntuhan moral dan akhlak yang jauh menyimpangi dari ajaran dan didikan agama Islam. Jika kita perhatikan dunia hari ini seperti diadaptasikan seakan-akan seperti zaman jahiliah dahulu. Berlaku gejala sumbang mahram, anak membunuh ibu bapa, penderaan, keganasan rumahtangga, ibu mendera anak, kelahiran anak luar nikah dibuang di merata-rata tempat hilang, kepupusan naluri kemanusiaan dan sebagainya. Sebenarnya Islam tidak mengajar umatnya kearah kejahatan tetapi telah dibelenggu oleh gelora nafsu jyang bersandarkan kepada hati manusia yang berpalit dengan noda-noda batil. Oleh itu, sentiasa memelihara dan menjaga hati dengan memperbanyakkan amalan-amalan wajib dan sunat secara istiqamah dalam melahirkan sebuah hati yang bersih dan suci. Disamping itu, menghindari dari makanan-makanan yang haram dan shubhah. Sesungguhnya hati yang baik akan menghasilkan kebaikan dan jika buruk hatinya maka rosaklah badanya (tingkahlaku,percakapan,amalan)

Menurut Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah,baginda melihat krisis moral dalam kalangan masyarakat Islam lebih parah apabila statistik mendapati wujud peningkatan paling tinggi berbanding dengan penganut agama lain. Dengan ini, isu moral ini mempunyai hubungkait dengan akhlak. Keadaan ini seolah-olah mencerminkan sebahagian masyarakat Islam rendah dalam aspek akhlak dan moral. Keadaan ini menimbulkan pelbagai persoalan. Antaranya mengapa umat Islam kurang mencontohi akhlak Rasulullah S.A.W yang terpuji dengan sikap mahmudahnya. Sedangkan Nabi Muhamamad s.a.w adalah contoh akhlak yang terbaik.

Firman Allah yang bermaksud:
" Dan sesungguhnya engkau( wahai Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung" ( Surah Al-Qalam 68:4)

Akhlak merupakan aspek yang sangat penting bagi setiap umat termasuklah umat Islam. Oleh itu, umat Islam diperintahkan oleh Allah s.w.t agar bersifat lebih peka terhadap ajaran-ajaran yang disampaikan olehNya. Hal ini kerana akhlaklah yang membentuk sahsiah diri seseorang sama ada baik atau sebaliknya. Akhlak sering dikaitkan oleh perkara-perkara yang berkaitan dengan sikap-sikap mahmudah . Jadi keperluan akhlak adalah amat penting dalam membentuk peribadi seseorang muslim. Timbul persoalan mengapa akhlak terpesong daripada ajaran Islam mudah diikuti dan diminati . Tambahan pula, Umat Islam hari ini ramai yang sekadar mengaku beragama Islam tetapi cara hidup dan bertingkahlaku tidak seperti mana yang disyariatkan. Tambahan pula timbul “spesies” yang muncul kembali dalam kalangan masyarakat Islam seperti gay, lesbian dan sebagainya. Keadaan ini mengingatkan kembali ketika zaman Nabi Lut a.s. yang mana kaumnya telah dibinasakan akibat melanggar perintah Allah melalui hubungan sejenis. Semua ini amat menakutkan dan lebih-lebih lagi berlaku terhadap umat Islam sekarang. Sesungguhnya manusia itu Allah ciptakan sebaik-baik kejadian tetapi mengapa masih ada lagi umat Nabi Muhammad yang berbuat demikian. Sepatutnya redha ketentuan Nya dan sentiasa mensyukuri nikmat Allah s.w.t

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang berpaling dari peringatanku maka sesungguhnya bagi mereka kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunnya pada hari kiamat dalam keadaan yang buta”
( Toha ayat, 20:124)

Berdasarkan firman Allah s.w.t. secara realitinya, senario masyarakat Islam hari ini adalah jauh dalam ertikata hakikat Islam sebenar menerusi keperluan dan tuntutan syariat Islam. Hal ini kerana banyak masalah penyakit sosial yang melampaui batasan khasnya remaja seperti pembuangan bayi hasil perzinaan dan pembunuhan berlaku atas dasar menutup malu terhadap pandangan sesama manusia dan tidak pula malu terhadap Allah s.w.t. Dalam masa yang sama, Malaysia ingin melahirkan modal insan yang mantap dan berkualiti tetapi apa yang berlaku hari ini, ramai generasi Islam yang dilahirkan tanpa ikatan pernikahan. Jadi secara umumnya, bagaimana survival generasi ini akan menjadi pemimpin untuk generasi akan datang? Jadi bagaimana pula dengan nasib negara, bangsa dan agama kita nanti. Oleh sebab itu, Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al Mulk supaya jangan menghampiri zina sesungguhnya ia perbuatan yang keji. Tetapi apa yang berlaku hari ini, umat Islam sendiri tidak menghiraukan peringatan tersebut.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Sesungguhnya manusia benar-benar dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”( al-Asr, 2:3)

Ayat diatas jelas menunjukan masyarakat Islam hari ini, kebanyakkannya sibuk siang dan malam menguruskan hal dunia sehingga kurang mempedulikan hak dan peringatan Allah s.w.t. Mereka seolah-olah tidak mengingati tentang kematian dan hari kiamat dengan tidak membuat persediaan dan persiapan untuk berdepan dengan semua itu. Jadi mereka yang lalai dengan kesibukkan dunia adalah sangat rugi. Tambahan pula orang yang mengejar dunia maka dia hanya memperolehi dunia sahaja dan tentang akhirat dialah orang yang paling fakir dan tidak memiliki apa-apa

Sesungguhnya Nabi Muhammad telah meninggalkan al-Quran dan hadis sebagai senjata untuk menegakkan agama Allah s.w.t dan sebagai panduan hidup agar manusia tidak akan sesat sepanjang berdampingan dengannya. oleh itu, menjadikan al-Quran dan hadis sebagai pedoman hidup disebabkan di dalamnya terkandung segala keperluan hidup yang ditetapkan oleh syariat Islam. Memandangkan ramai umat Islam kini tersasar dari landasan dan engkar dengan peringatan serta larangan Allah s.w.t. Maka Islam mengalakkan agar ummatnya saling berpesan-pesan ke arah kebaikan memandangkan umat akhir zaman yang berdepan dengan pelbagai cabaran dan ancaman hidup. Marilah sama-sama menjaga kesucian dan maruah Islam serta mengimbas kembali pergorbanan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat menegakkan agama tauhid. Janganlah mencemarinya dengan melakukan dosa yang boleh membina stereotaip yang batil tentang agama Islam. Hal ini kerana banyak perlakuan yang berdosa melibatkan umat Islam seperti zina, membunuh, berlaku zalim,h ilang sikap kemanusian dan sebagainya. Hal ini kerana Islam tidak mengajar umatnya ke arah kehancuran. Malahan Islam menganjurkan ke arah kebaikan. Jadi sama-samalah memgembleng dan bekerjasama serta berhijrah bagi memelihara agama dari anasir-anasir mazmumah lagi batil demi menjaga kesucian Islam. Sesungguhnya Allah selalu bersama-sama dengan ummat Islam.

Link Kepada Sumber Rencana